Kerajaan diminta sediakan data, peranti untuk mudahkan pembelajaran dari rumah
Diterbitkan pada November 11, 2020 21:19 MYT
KUALA LUMPUR: Sektor pendidikan yang menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2021 diminta menggunakan sebahagian daripada dana itu untuk menyediakan data dan peranti kepada pelajar dalam usaha membantu mereka dari segi ketersambungan maya.
Pengarah Global School Leaders Malaysia Cheryl Ann Fernando berkata ini akan memastikan pelajar dapat meneruskan pembelajaran mereka dari rumah dengan lancar seperti yang disarankan Kementerian Pendidikan (KPM).
“… kerana jika tidak, saya rasa kumpulan pelajar ini pasti akan banyak ketinggalan dari segi pembelajaran dan tempoh pasca pandemik ini bakal menyaksikan mereka terpaksa bergelut untuk mengikuti apa yang sedang diajar,” katanya dalam rancangan Mid-Day Update bersama Bernama TV yang bertajuk ‘Belanjawan 2021: Pendidikan’ hari ini.
Meskipun bersetuju bahawa jumlah RM725 juta yang diperuntuk bagi menaik taraf sekolah usang di seluruh negara adalah ‘lebih daripada mencukupi,’ Fernando berkata lebih banyak peruntukan diperlukan bagi menyediakan ketersambungan, infrastruktur, data serta peranti untuk pelajar terutama di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, beliau berharap pihak berkaitan akan mengambil maklum cara belanjawan respons COVID-19 digunakan dan mengambil langkah menaikkan jumlah dana bagi pembinaan kapasiti guru selain mempelbagaikan serta menginovasi kaedah latihan untuk guru seperti latihan maya.
Beliau berkata langkah menyesuaikan bentuk latihan dan penyelesaian kepada guru adalah cara terbaik untuk terus melangkah sepanjang tempoh berdepan ancaman pandemik COVID-19.
“Apa yang dapat kita lakukan ialah mengenal pasti lokasi guru, kesulitan mereka serta cara pejabat pendidikan daerah dan negeri boleh membantu mereka. Jika kita cuba memberikan satu kaedah penyelesaian untuk semua perkara, maka ia amat sukar untuk dilaksanakan.
“Bagaimanapun, jika kita menyesuaikan jenis latihan untuk guru, maka kita akan dapat melihat hasilnya dengan segera,” katanya.
Jumaat lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 berkata KPM terus menerima peruntukan terbesar sebanyak RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada jumlah perbelanjaan kerajaan.
KPM turut menjadi penerima terbesar dalam Belanjawan 2020 dan Belanjawan 2019 dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM64.1 bilion dan RM60.2 bilion.