Cikgu Sam lambang penyatuan, didik anak murid orang asli tanpa putus asa

September 14, 2021

Sebut saja nama Samuel Isaiah, pasti ramai yang sudah mengenali susuk tubuh ini yang terpilih sebagai 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020.

Anak kelahiran Pahang yang pernah bergelar guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang, itu tidak pernah kenal erti putus asa dalam mendidik anak muridnya meskipun pelbagai cabaran mendatang.

Berkongsi serba sedikit detik awal memulakan tugas di Sekolah Kebangsaan Runchang pada 2012, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Sam dalam kalangan anak muridnya pernah terfikir untuk berhenti daripada menjadi guru selepas tiga bulan mengajar.

Pada mulanya beliau seperti tidak percaya apabila ditempatkan di sekolah anak orang asli malah mengalami kejutan budaya kerana sebelum ini tidak pernah didedahkan dengan kehidupan di kawasan pedalaman.

“Saya memang tidak biasa dengan sekolah di luar bandar apatah lagi sekolah orang asli yang serba kekurangan dari segi kemudahan dan capaian internet sehingga membuatkan saya berasa agak sukar menyesuaikan diri.

“Itu belum lagi mengambil kira tanggapan negatif yang sering dilemparkan terhadap murid orang asli kononnya tidak mampu pergi jauh dalam pelajaran. Tetapi siapa sangka akhirnya saya menyedari bahawa anak-anak ini sangat istimewa jika kita sedia mendengar dan menerima mereka sepenuhnya.

“Dari situ, saya tahu anak murid orang asli inilah yang lebih banyak mengajar tentang erti kehidupan,” tutur penerima Anugerah Guru Adiwira Kebangsaan 2019.

Perkenal pelbagai progam

Sepanjang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Runchang, Cikgu Sam memperkenalkan pelbagai program bagi meningkatkan penguasaan murid-muridnya dalam subjek Bahasa Inggeris dan memperbaiki peratus kehadiran murid ke sekolah.

Antara program diperkenalkannya ialah projek pertukaran emel dikenali sebagai ‘Asli E-Pal‘, yang mana murid-murid boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan sukarelawan yang lebih dewasa di dalam dan luar negara.

Cikgu Sam juga berjaya mendapatkan sumbangan dana sebanyak RM15,000 bagi membeli komputer riba dan tablet untuk murid-muridnya dalam usaha mendedahkan penggunaan teknologi kepada mereka.

Program ‘Speak Up With Poetry‘ (Bersuara dengan Puisi) pula adalah projek kerjasama guru itu dengan penyair amatur yang menulis puisi berkaitan kebudayaan orang asli dan kemudiannya murid boleh menonton program itu dalam bentuk video untuk pembelajaran bahasa Inggeris.

Program Sekolah Pokok, gabungan pembelajaran abad ke-21 (PAK21) dan alam sekitar pula diperkenalkan bagi menarik minat murid-murid untuk hadir ke sekolah yang dibuat secara bergilir-gilir dengan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas memandangkan anak orang asli tidak biasa belajar secara formal di dalam kelas.

Tukar profesion

Cikgu Sam yang juga anak jati Kuantan berkata, tanpa sedar beliau telah berkhidmat di sekolah itu selama lapan tahun sehinggalah membuat keputusan melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Dasar Pendidikan dan Kepimpinan di Universiti New York, Amerika Syarikat pada 2019.

Sekembalinya dari Amerika Syarikat, Cikgu Sam memilih untuk tidak meneruskan khidmatnya dalam profesion perguruan sebaliknya kini bertugas sebagai Pengarah Program di Pemimpin GSL, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan khidmat latihan kepimpinan kepada guru-guru dan pemimpin sekolah.

Pilihan itu dibuat bukan kerana sudah tidak cintakan dunia pendidikan sebaliknya mahu terus mendidik dan memberi impak dalam konteks yang lebih luas membabitkan warga pendidik di seluruh negara.

“Jika saya kembali mengajar di sekolah, impaknya agak terhad kepada kelompok kecil saja tetapi menerusi peranan di Pemimpin GSL, saya boleh membuat perkongsian dengan lebih banyak sekolah sekali gus memberi manfaat kepada ramai guru dan pemimpin dalam institusi pendidikan.

“Saya juga berharap usaha yang dilakukan ini akan membawa perubahan kepada sistem pendidikan kita di samping menyokong transformasi yang dicadangkan Kementerian Pendidikan,“ kongsinya yang baru saja menamatkan pengajian pada hujung bulan lalu.

Mengulas mengenai aspek perpaduan dalam kalangan generasi muda pada hari ini pula, Cikgu Sam berkata, tidak nafikan perkara itu semakin kurang dititikberatkan oleh pelajar kerana terlalu leka dengan gajet, media sosial dan sibuk menghadap skrin telefon.

“Dalam hal ini, sekolah adalah organisasi yang boleh memainkan peranan penting untuk memupuk dan meningkatkan pemahaman pelajar mengenai kepentingan aspek perpaduan tetapi dalam masa yang sama perlu mendapat sokongan semua pihak termasuklah ibu bapa.

“Sepanjang pengalaman berkunjung ke sekolah di seluruh negara kerana bertugas sebagai Jurulatih Kebangsaan bagi subjek Bahasa Inggeris, saya mendapati ada sekolah yang berusaha ke arah itu tetapi masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan dari masa ke masa supaya perpaduan di negara ini terus kekal harmoni,“ kata Cikgu Sam mengakhiri perbualan.

Anugerah

Anugerah Guru Bahasa Inggeris Cemerlang Hyacinth Gaudart 2021
Anugerah MILO 70 Tahun – Recognition of 70 Key Malaysians (2020)
Penerima Anugerah Augustman Malaysia, Man of the Year 2020 daripada Volvo Car Malaysia dan TAG Heuer.
10 finalis terbaik Hadiah Guru Global 2020
Edufluencer KPM
Guru Adiwira Kebangsaan 2019
Guru Adiwira PAK21 2019 (Finalis Top 10 – Peringkat Kebangsaan)
Anugerah The Star Golden Hearts Award, 2019
Anugerah Guru Inovatif Pekan 2018
Anugerah Best Teacher Award ASEAN-ELT Conference 2018 – Peringkat Antarabangsa